Wednesday, 29 February 2012


TOK AYAH SEBAGAI PEWARIS SELEMPANG MERAH 


Tok Ayah atau nama sebenarnya Ayahanda Paduka Khalifah Guru Datuk Dr. Haji Baharom bin Haji Kamari telah mempelajari dan mengamalkan ayat 4 Kiyai Panglima Hj Salleh sejak diusia kecilnya lagi. Beliau merupakan seorang yang rajin menuntut ilmu khususnya dalam persilatan melayu dan amalan rohaninya. Kesan daripada silat yang dipelajarinya daripada Embah Kiyai Seran menjadikan beliau kagum dengan ilmu ibu buah pukol melayu yang dipanggil Kuntau. 

Tok Ayah merupakan anak jati Batu Pahat Johor. Kampung halamannya di Parit Suharto, Parit Raja adalah tempat beliau mula mempelajari dan mengenal amalan ayat 4 Kiyai Salleh. Menurut Tok Ayah sudah menjadi amalan orang kampungnya ketika beliau kecil membaca zikir ayat 4 selepas solat di surau-surau. 

Semasa beliau telah dewasa dan menjadi Pengetua di salah sebuah sekolah menengah di kampungnya, beliau telah berkenalan dengan guru silat yang sangat hebat dan disegani iaitu Almarhum Haji Hamid Hamzah (hamid Jah). Guru Hj Hamid adalah anak angkat kepada Kiyai Panglima Hj Salleh. Menurut beliau Hj Hamid mempunyai pakaj yang lengkap dan disukai oleh Kiyai Salleh iaitu seorang guru agama dan pendekar. Hj Hamid Hamzah adalah antara orang termuda mengikut Kiyai Salleh menghapuskan Komunis di merata tempat. Hj Hamid Hamzah menurut Tok Ayah telah menerima ijazah ayat 4 daripada Kiyai Salleh secara rahsia iaitu didalam bilik Kiyai Salleh sendiri dan ditutupi kelambu agar banyak rahsia ilmu tidak terbongkar. Bersama Guru Haji Hamid Hamzah, Tok Ayah mendalami lagi ilmu ayat 4 yang telah dipelajarinya daripada banyak guru sejak kecil lagi. 

Pada tahun 2008, Tok Ayah telah diatur jodohnya bertemu dengan waris keluarga Kiyai Salleh iaitu Kiyai Haji Yusof bin Kiyai Hj Salleh di Johor. Tok Ayah ketika itu ditemani oleh Isterinya. Banyak perkara yang telah dibincangkan dan dipastikan kebenarannya sehinggalah Tok Ayah meminta Kiyai Hj Yusof memimpin kembali Gerakan Selempang Merah ini untuk menjaga Agama, Bangsa dan Tanah Melayu kini dan selamanya. Kiyai Yusof pada ketika itu terdiam dan memberi tempohmasa untuk memikirkannya dan membuat istikarah atas perlawaan tersebut. 

Selang 2-3 minggu Kiyai Yusof telah memanggil Tok Ayah dan ditemani oleh Ayah Wan (Presiden) untuk bertemu dan membincangkan hak kepimpinan Selempang Merah kini. Pada masa tersebut Kiyai Yusof sebagai waris keturunan Kiyai Salleh yang sah telah mengijazahkan Ayat 4 ini secara terus kepada Tok Ayah dan Ayah Wan. Setelah lama Kiyai Yusof berfikir beliau membuat keputusan untuk menyerahkan kepimpinan kebangkitan Selempang Merah ini kepada Tok Ayah dan Ayah Wan untuk memimpin sekali gus memberi izin untuk mengijazahkan ayat 4 kepada semua. Keputusan ini dibuat oleh Kiyai Hj Yusof berpandukan pengalaman beliau suatu ketika dahulu dan beliau telah bersetuju untuk menjadi Guru Waris dan mengesahkan jika ada pihak-pihak yang membantah atau ragu-ragu. Maka bermulalah kebangkitan Gerakan Selempang Merah dibawah Khalifah, Datuk Dr   Hj Baharom bin Hj Kamari. 

Hal ini disaksikan sendiri oleh saya semasa peristiwa perhimpunan ahli-ahli Gerakan Selempang Merah tahun 2009 lalu dimana Kiyai Hj Yusof mengeluarkan air mata melihat kebangkitan dan berkumpulnya semua ahli-ahli jemaah Selempang Merah dibawah Tok Ayah Khalifah. 

Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk memecahbelahkan mana-mana pihak apatah lagi menghina mana-mana pihak termasuklah guru-guru yang ada tetapi sekadar membuka kebenaran yang berlaku disebalik yang tersurat. Pada saya tiada siapa yang layak memberi izin menyebarkan amalan Kiyai Salleh ini selain waris darah dagingnya sendiri terutama yang sulong. Pada Tok Ayah walau bukan gelaran yang diharapkan tapi hati beliau kuat mahu ummat melayu islam bersatu dan kuat seperti dahulu dizaman Kiyai Salleh. 

KEJOHANAN LAGA SENI SILAT KUNTAU SELEMPANG MERAH MALAYSIA

12hb Novemberi 2011 - Sabtu, ianya bukan sahaja satu hari yang penuh berkah tapi lebih bererti kepada setiap ahli-ahli Seni Silat Kuntau Selempang Merah seluruh pelusuk tanah air. Pada hari tersebut telah berlangsungnya pertandingan Kejohanan Laga yang telah lama tidak dipertandingkan. Pada kali ini SMK Bandar Baru Batang Kali Hulu Selangor telah dipilih sebagai tuan rumah untuk menjayakan majlis tersebut.   

Pada masa yang sama, satu lagi peristiwa yang sangat bersejarah ialah dengan berlangsungnya majlis menyerahkan memorandum di antara Asia Pacific Open University dengan pihak sekolah dimana perjanjian pesepakatan ini memberikan peluang kepada para pelajar sekolah memperolehi pensijilan bertaraf sijil daripada universiti antarabangsa.

Sebanyak 4 kategori telah dipertandingkan. Pertandingan ini juga dimeriahkan lagi dengan penyertaan ahli-ahli dewasa yang berumur 18 tahun ke atas. Apa yang menariknya pertandingan kali ini menyaksikan pelbagai teknik yang dimainkan oleh peserta untuk menjadi johan.

Guru-guru seni beladiri lain juga telah bersama menyaksikan pertandingan tersebut dan ianya telah berjaya membuka minda semua pihak tentang rahsia buah pukul persilatan melayu dulu, kini dan selamanya yang perlu diketenggahkan.

Seperti yang diketahui, uniknya pertandingan ini ialah dengan memperkenalkan sistem penilaian pemarkahan yang nyatanya amat berbeza dengan pertandingan yang sedia ada. Dalam pertandingan kejohanan laga Seni Silat Kuntau Selempang Merah, peserta tidak di bekalkan dengan pakaian peralatan pelindung badan (body protector). Ianya bukan dilihat sebagai satu yang bahaya jika seseorang peserta itu dilatih secukupnya dengan teknik kedu dan rumah yang betul.

Satu lagi yang istimewanya dalam pertandingan ini ialah tiadanya peruntukan nilaian markah kepada setiap jatuhan yang dibuat tanpa serangan. Ianya dilihat jika seseorang peserta menjatuhkan lawan secara kosong tidak mencerminkan silat sebagai beladiri perang yang dimainkan suatu ketika dahulu. Dalam pertandingan ini setiap tumbukan yang tepat dinilai 1 markah dan sepakan yang telap dinilai 2 markah. Manakala jika peserta menjatuhkan lawan dengan disusuli pukulan akan dinilai 1+1 atau 2+1. 


MAJLIS PENYERAHAN BORANG KEAHLIAN
PASUKAN KHAS RELAWAN
SELEMPANG MERAH MALAYSIA
 DI PEJABAT KETUA SETIAUSAHA 
KEMENTERIAN DALAM NEGERI


PUTRAJAYA - 30 November 2011, Satu majlis yang ringkas tapi penuh bersejarah telah berlaku. Pada hari tersebut Gerakan Selempang Merah diketuai oleh Datuk Paduka Khalifah Mahaguru, Datuk Dr. Hj. Baharom bin Hj. Kamari bersama Ayahanda Paduka Hj Wan Mohd Tahir (Presiden) serta Ayahanda-ayahanda dan Abang Long Gerakan Selempang Merah mewakili seluruh ahli GSM telah hadir menyerahkan borang keahlian   Pasukan Khas Relawan Selempang Merah. Sebanyak 10,000 borang keahlian daripada ahli-ahli seluruh Malaysia telah berjaya dikumpulkan dalam masa yang singkat. Ini menunjukkan komitmen semua ahli GSM seluruh Malaysia dalam mendukung inspirasi wawasan pucuk kepimpinan GSM dan negara yang dicintai. 

Pasukan Khas Relawan Selempang Merah ini ditubuhkan adalah bertujuan untuk melahirkan ahli-ahli GSM yang bersemangat patriotik dan cintakan tanah airnya. Semangat untuk menjadikan relawan ini sebagai satu permulaan yang baik dan memberikan harapan agar perjuangan GSM ini sejajar dengan undang-undang negara Malaysia. Walaupun tempoh mengumpulkan nama telah tamat tapi kita masih terus menerima mana-mana individu untuk menyertainya tanpa mengira waktu. 

Banyak aktiviti yang bermanafaat dapat dijalankan menerusi penubuhan pasukan khas relawan ini. Antara aktivitinya adalah latihan fizikal dan mental, latihan seni beladiri khusus Seni Silat Kuntau Selempang Merah dan pelbagai lagi yang pastinya menyeronokkan dan penuh lasak.   

PEWARIS PERGURUAN SENI SILAT KUNTAU SELEMPANG MERAH DARIPADA SMK KIARAMAS 2011


Silat merupakan satu identiti bangsa melayu zaman berzaman. Silat perlulah dilihat sebagai salah satu kepada agenda melayu kerana ianya terbukti mampu membentuk jatidiri kepada generasi melayu agar taat setia kepada agama, bangsa dan tanah airnya sendiri. Tapi apa yang menyedihkan, kini silat dipandang serong serta ada pula sanggup mengatakan silat kini tidak relevan oleh sesetengah masyarakat melayu yang daif. Sekiranya kita berdiam dan tidak ada usaha berterusan pasti akan menjadikan bangsa melayu yang hilang identitinya yang tersendiri. Kita patut sedar bahawa pentingnya identiti bangsa, bangsa-bangsa di dunia ini amat menitik beratkan identiti bangsanya contohnya bangsa cina, india, arab, inggeris dan lain-lainnya. Ia menunjukkan bahawa suatu bangsa yang beridentiti itu sebagai satu bangsa yang bermaruah dan dihormati oleh dunia. Jika generasi masakini tidak dipupuk tentang identiti bangsa, maka kelak akan lahir satu golongan anak bangsa yang malu untuk membawa identiti bangsa sendiri. Adakah kita mahu melihat semua ini berlaku?? pikirlah akan kesan dan akibatnya nanti..... 

Peringkat sekolah wajarnya menerapkan satu modul kokurikulum yang melihat kepada agenda melayu itu sendiri, dimana aktiviti silat diangkat sebagai satu aktiviti wajib sekolah dan memberi kerjasama dalam membuat aktiviti yang mampu meningkatkan identiti bangsa melayu dalam diri pelajar. Pihak sekolah kenalah bersikap terbuka, kerana kita sebagai manusia walaupun berlainan pangkat dan status kita tetap manusia yang kekurangan ilmu dan kekuatan. Sikap terbuka dan menjalin kerjasama ini bukan suatu yang merugikan pihak sekolah tapi ianya amat menguntungkan kerana didikan anak-anak yang selama ini dipikul oleh pihak sekolah dapat dikongsi bersama NGO serta pihak ibu bapa.

Gerakan Selempang Merah menerusi wadah perjuangan ilmunya yang dipimpin olehPaduka Mahaguru Dr. Hj. Baharom bin Hj. Kamari serta Ayahanda Paduka Dr. Hj Wan Mohd Tahir telah meneliti serta menjalankan banyak pendekatan yang nyatanya amat berbeza dengan yang lain. Silat yang dibawa mampu membentuk jatidiri dan disiplin diri anak-anak haruslah dilihat secara serius dan disokong. Jika tak bangsa kita sendiri yang menyokong siapa lagi??. Berubahlah dan ingatlah kita hanya merancang Allah sahaja yang menentukan. Setinggi mana ijazah guru itu mengajar disekolah tidak akan mampu mencapai inspirasi negara jika tidak bekerjasama dengan pihak lain khususnya guru-guru silat.

Dalam hal ini, ingin juga saya rakamkan sejuta terima kasih kepada pihak sekolah yang telah berusaha gigih utk menjadikan agenda melayu tercapai disekolah-sekolah. Bagi kami GSM akan terus membantu semua pihak untuk meningkatkan identiti bangsa serta mengisinya.

FIZAH..
(INSAN BIASA)